Tuesday 1 December 2015

Dewasa Dengan Pengalaman

Tidur beralaskan sejadah, berbantalkan lipatan baju. Panas dan diselangi dengan gigitan nyamuk yang mengganas. Itu adalah pengalaman minggu-minggu pertama semasa latihan industri. Datangnya dari kampung. Tak ada pengalaman hidup yang banyak untuk dijadikan bekal di tengah kota metropolitan. Yang ada cuma hati yang setiap hari perlu diisi dengan kekuatan. Kekuatan luar biasa yang perlu diterjemahkan kepada kudrat. Kudrat yang selayakknya ada bagi seorang perempuan. Semua yang ada pada ketika itu adalah sekadarnya. Cukup makan, cukup pakai, ada tempat melepaskan lelah, ada kenderaan untuk pergi belajar. Belajar mengenal hidup dan belajar menyelongkar kemampuan diri.

Tidak kisah makan apa. Tidak kisah tidur beralaskan dan berbantalkan apa. Tidak kisah berdua menaiki motor yang kadang-kadang perlu diisi dengan barang yang banyak. Sangkut dan selitlah dimana-mana yang boleh... Disebabkan kekangan kewangan, hampir setiap hari kami perlu masak dan bawa bekal ke tempat kerja. Makan pula di Surau yang terdapat di dalam pusat membeli belah berhampiran. Alhamdulillah, ia nikmat luar biasa. Syukur, Allah masih berikan rezeki. Kami juga pernah bercadang untuk menghantar nasi lemak dan laksa ke mana-mana kedai makan sekitar kediaman kami bagi menampung hidup di kota. Satu kedai ke satu kedai kami pergi mencuba nasib. Apakan daya, tidak ada satu kedai makan pun yang mahu menerima menu kami. Tak mengapalah, kami guna sahaja apa yang ada pada ketika itu dengan seadanya.    

Kami berkata sesama sendiri: "Duit yang ada ini, paling penting adalah untuk kita bayar sewa rumah, minyak motor untuk pergi kerja, print research untuk kelayakan menamatkan ijazah. Yang lain-lain tak apa! apa yang ada, itulah rezeki kita. okay?" 

Kami berkongsi hampir kesemua perkara. Bahan untuk memasak terutamanya, ada tabung yang kami sediakan untuk keperluan kami. Tengok pada keperluan. Tapi kebiasaannya seorang RM10 sudah cukup untuk makan minum selama seminggu. Pergi ke pasar malam semestinya menjadi kegemaran kami. Maklum sahaja harga pasar malam kan? jauh lebih murah dari di kedai-kedai biasa. 

Sebenarnya, Allah sedang berbicara dengan kami. Allah kata, rezeki itu tidak semestinya berbentuk wang ringgit. Kesihatan juga satu rezeki. Dengan kesihatan yang baik, Allah kuatkan kami untuk pergi beli barang memasak, kemudian memasak dan seterusnya kami mampu mengalas perut untuk teruskan kehidupan. Apalah sangat apa yang dilalui ini jika mahu dibandingkan dengan mereka yang mungkin tidak makan berbulan-bulan. 

Teringat saya dengan drama yang kami tonton ketika itu. Drama itu berkisarkan tentang sebuah keluarga yang sangat dhaif. Makanannya hanya sup kepala ikan bilis. Kami insaf menonton drama tersebut. Kami bersyukur dengan apa yang kami ada. Alhamdulillah.   

 


Kenangan menunggang motor berdua sememangnya kenangan yang tidak mampu untuk saya lupakan. Satu pengalaman yang teramat bernilai buat saya sendiri. Sahabat saya, Nurul akan membawa motor manakala saya sebagai penumpang. Nurul apabila membawa motor, tidak mampu melihat papan tanda. Takut katanya. Maka saya dibelakang ditugaskan untuk melihat papan tanda. Memberi arahan kepadanya untuk ke kiri, ke kanan atau maju ke hadapan. Nurul pernah beritahu saya yang dia sangat takut bawa motor di Kuala Lumpur hinggakan genggamannya pada handle motor sangat kuat. Setiap kali ada kenderaan yang bergerak laju disebelah, dia beristighfar kerana ketakutan yang amat sangat. Tangannya terkadang sejuk dan basah. Sudah cukup menggambarkan gelojak hatinya.  Saya dibelakang hanya menenangkannya. Saya juga ketakutan. Namun, saya harus kuat untuk menyalurkan kekuatan kepada Nurul. Belum masuk lagi cerita jika tiba-tiba motor ini rosak? Pernah tayar motor tiba-tiba meletup ditengah jalan. Saya dan Nurul hampir sangat tersungkur di tengah jalan raya yang pada ketika itu ada kereta laju di belakang kami. Alhamdulillah, kami selamat. Nurul tolak motor hingga ke kedai motor yang berhampiran. Saya pula berjalan kaki hingga ke office. Kami perlu berpisah. Demi tanggungjawab... Office perlu dibuka. Motor juga perlu dibaiki... Saya kurang pasti berapa jauh saya berjalan dan Nurul pula tolak motor tersebut... Kami cuma bersyukur yang kami selamat... Itu sahaja...

Alahai motor... Dengan motor inilah kami 'hidup'. Meredah hujan, panas, ribut, petir, habuk jalanan dan asap kenderaan. Sesat itu sudah seperti rutin harian. Pernah satu ketika, kami sesat entah ke mana. Maghrib ketika itu sudah hampir sangat melabuhkan tirainya. Kami tidak keruan mencari tempat untuk solat. Tidak jumpa! Akhirnya berbekalkan sebotol air, kami berwuduk dan menunaikan solat. Pada mulanya air yang kami gunakan untuk berwuduk itu, mahu dibeli. Namun diberi secara percuma sahaja oleh pemilik gerai. Barangkali kasihan gaya kami ketika itu? Dengan sebotol air itulah kami berkongsi untuk berwuduk sekadarnya lalu kami menunaikan solat ditepi jalan. Di sebalik pokok-pokok yang ada... Semoga pemilik gerai yang memberikan air kepada kami itu dimurahkan rezekinya selalu. Amin.

Pengalaman mendewasakan kami. "Entah bila dapat rasa pengalaman begini. Selepas ini mungkin kita perlu kembali semula ke kampung dan kehidupan akan dilalui seperti keselesaan biasa". Nurul berkata kepada saya.

Tidak kurang juga tempat latihan industri kami, juga mengajar kami berbagai-bagai ilmu bermanfaat. Tempat latihan indusrti kami pada ketika itu baru sahaja menapak di dalam industri. Belum ada sesiapa lagi di office. Hanya kami berdua serta dua orang supervisor. Justeru, jadual dan tanggungjawab antara kerja dan universiti perlu dibahagikan selayaknya. Kami tidak pernah pulang ke universiti berdua. Bila seorang pulang ke universiti, seorang lagi mesti berada di office. Itu perjanjian yang kedua kami persetujui sendiri. Ada hari-hari yang salah seorang perlu pulang ke universiti, maka teksi adalah pengangkutan ke tempat kerja. Takut hendak menunggang berseorangan. Maklumlah, perempuan kan? Banyak yang perlu dijaga. Dengan kesempitan wang dan ditambah jalan yang sesak ke tempat kerja, ia menambah lara di hati bila lihat pada bacaan meter teksi...

Apa jua keadaan, hidup adalah hidup. Dan kehidupan perlu diteruskan... Biar seribu dugaan mendatang, biar jutaan kritikan dilemparkan, itulah hukum alam... Hampir 4 tahun berlalu, Nurul telah lama tinggalkan saya di sini. Tapi Nurul tinggalkan saya dengan kekuatan luar biasa... Jika tidak saya lalui semua ini, mungkin saya tidak mampu berdiri kuat sebegini. Saya kenang zaman saya berperang untuk keluar dari kepompong kebiasaan saya. Kenang bukan untuk saya tangisi, tapi kenang untuk hirup sedikit semangat buat bekalan hidup hari mendatang... Walau acap kali saya seperti tersungkur. Itu perkara biasa pada penilaian saya. Mungkin tidak pada penilaian orang lain... Saya akan baiki diri saya hari demi hari. Itu janji saya.

Hingga bertemu lagi dalam nukilan yang akan datang, insyaAllah.   

No comments:

Post a Comment