Wednesday 25 November 2015

Lombok, Perjalanan Mengenal Diri

Keluar daripada zon selesa. Mungkin itulah yang dapat saya gambarkan dan simpulkan pada pengembaraan kali ini. Dalam keadaan yang serba sederhana, pengembaraan selama lebih kurang 5 hari ini ternyata memberikan impak yang cukup berbeza pada saya. Saya mengembara dengn kawan-kawan yang hanya saya kenal sebaik tiba di KLIA2. Alhamdulillah, mereka banyak membantu dan ternyata mereka semua jauh lebih berpengalaman bila berada di negara orang. Suka untuk saya kongsikan bahawa mereka adalah diluar daripada kebiasaan kawan-kawan yang saya ada. Dan suka juga untuk saya nyatakan bahawa saya suka untuk cuba berkawan  dengan sesiapa pun kerana siapa tahu, mereka inilah yang sebenarnya lebih banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar. Alhamdulillah. Mereka datang daripada latar belakang yang berbeza dan saya belajar perkara baru daripada setiap satu mereka.  


Seketika semasa menuju ke Gili Trawangan

Pengangkutan awam di sana


Jujur dalam senyuman

Sempurna tidak perlukan kemewahan

Sejenak merenung kealpaan diri



GILI TRAWANGAN
Alhamdulillah, berkat doa dan semangat yang sedaya upaya saya usaha kumpulkan, saya berjaya melakukan beberpa aktiviti yang jarang sekali saya dapat lakukan. Bermula dengan perjalanan ke pulau ini dengan menaiki bot awam yang dipenuhi bukan sahaja masyarakat tempatan dan pelancong, malahan pelbagai jenis barangan termasuk bahan makanan seperti sayur-sayuran, gas dan pelbagai keperluan harian untuk bekalan penduduk di pulau ini. Kami sengaja memilih untuk menaiki bot awam kerana ingin bercampur dan mengenali budaya masyarakat disini. Ia adalah satu himpunan pelbagai latar belakang kaum dan agama. Manaiki bot awam yang sangat sederhana ini, saya rasakan ombak yang memukul agak berlainan. Lambungannya tinggi. Saya gayat dan sedikit takut kerana kami tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan. Namun saya berjaya atasi rasa takut. Saya berjaya atasi kebiasaan saya untuk tidak cuba menaiki kenderaan yang saya kira saya 'tidak selesa' kerana keadaannya yang sesak.

Berbasikal. Mungkin kedengaran seperti biasa, namun tidak pada pengalaman kali ini. Saya dan rakan semusafir berbasikal mengelilingi pulau ini. Kami anggarkan sekitar hampir atau mungkin melebihi 10 km kayuhan kami pada hari tersebut. Bermula jam lebih kurang 1 petang sehinggalah menganjak ke jam 9 malam kami berbasikal. Semestinya kami berhenti pada banyak tempat di sekitar pulau ini untuk menikmati pemandangan indah alam ciptaan Tuhan. Syukur, Allah tidak memberikan saya sakit selepas kayuhan yang panjang. Hari kami diakhiri dengan makan malam di 'night market' yang cukup terkenal di pulau ini. Juga, kami bercampur dengan kepelbagaian ragam manusia. Satu anugerah buat saya kerana diizinkan melihat dan menilai ragam manusia. Cukup istimewa setiap kejadian Allah. Cukup sempurna. Tinggal kita sahaja yang perlu corakkannya agar ia berada pada landasan yang betul  

Hello beach!

Sunrise jam 6 pagi

Sunset subhanaAllah

Berbasikal hingga malam hari

Ombak sunset, tempat wajib ambil gambar!


AIR TERJUN TIU KELEP
Seterusnya saya dan rakan-rakan meneroka kaki Gunung Rinjani. Laluannya curam. Sekejap turun, sekejap naik. Redah aliran air deras yang berbatu. Batunya pula tajam. Langkah kaki perlu diselangi dengan zikir. InsyaAllah, Allah akan memelihara dan membantu setiap langah kaki kita. Disini, saya hanya menyarung sepasang selipar! Licin dan agak merbahaya. Namun, fokus saya bukan pada ketidakselesaan yang saya rasakan pada ketika itu. Penatlah kalau hanya mahu fikirkan tidak selesa. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, saya sampai juga! Saya hanya banyak memerhati kehebatan ciptaan Tuhan kerana Air Terjun Tiu Kelep sangat sejuk untuk saya nikmati. Saya tidak tahan. Saya juga hanya menjadi pemerhati keseronokan rakan kembara saya menikmati dinginnya air. Mereka hanya menggunakan kesempatan yang ada dengan sepuasnya. Entah bila lagi mahu kesini lagi, kata mereka. Terjunan air tersebut saya kira amat kuat sehingga seolah-olah kita sedang berada di dalam hujan renyai walaupun berada beberapa meter daripada air terjun tersebut. Anginnya kuat. Saya tidak kuat berdiri lama. Serasa seperti mahu tumbang ditiup angin! Ketika pulang, menelusuri terowong saliran air yang gelap gelita satu lagi pengalaman yang saya kira sangat indah untuk saya kenang-kenangkan. 

Air Terjun Tiu Kelep, Kaki Gubung Rinjani (Gunung Berapi)

GILI KONDO
Berkhemah di Gili Kondo. Satu pengalaman yang luar biasa! Sangat menakutkan dan menyeramkan. Kami tiba di pulau ini pada hari yang sudah gelap. Kira-kira jam 8 malam dengan menaiki bot nelayan. Rasanya seperti mahu pergi menangkap ikan. Seperti nelayan! Setibanya di sini, kami terus memacakkan khemah masing-masing. Ternyata kami sahaja kumpulan yang datang dari Malaysia. Kumpulan lain adalah terdiri daripada orang tempatan. Selesai segala keperluan dan mengisi perut, entah kenapa saya terasa begitu letih dan saya terus tidur tanpa sedar apa yang sedang berlaku ketika itu. Malam itu, kami didatangi oleh kumpulan orang tempatan yang turut berkhemah disini. Mereka mabuk. Butir bicaranya menakutkan. Lucah. Ada antara rakan saya yang ketakutan. Masakan tidak, mereka katakan ingin bunuh dan campakkan kami ke dalam laut. Saya bersyukur kerana Allah memilih saya untuk tidak sedarkan diri ketika keadaan itu berlaku. Itu sahaja yang mempu saya ucapkan. Takut untuk saya andai-andaikan perkara yang akan berlaku. Naúzubillah! Ternyata, Islam cukup indah. Kesan daripada minum arak sudah saya dan rakan-rakan ketahui bagaimana keadaannya. Kewarasan akal akan hilang. Terima kasih juga kami ucapkan kepada 'tour guide' yang melindungi kami sebaik-baiknya dari sebarang perkara yang tidak diingini. Walaubagaimanapun, ia tetap satu pengalaman berharga yang kami akan bawa sebagai bekalan untuk terus maju melalui hidup yang masih panjang, insyaAllah. 

Malam yang kami rasakan begitu panjang, akhirnya telah berakhir. Menikmati pemandangan indah bermula terbitnya ufuk hingga timbulnya Matahari adalah satu perasaan yang sukar sekali saya ungkapkan. Matahari seolah tersenyum manis kepada kami. Barangkali mahu menyurutkan perasaan gundah? Allahuakbar! Pengalaman solat beralaskan butiran halus pepasir pantai memberikan satu rasa yang berbeza. Diiringi dengan desiran ombak memukul pantai. Ia alunan muzik yang amat menenangkan perasaan saya ketika itu. Tiada tempat mandi, tiada tandas. Oh! tidak ada sesiapa antara kami yang mandi malahan memberus gigi! Kami melakukan aktiviti snorkeling di pulau-pulau berdekatan

Dihujung pulau, ombak datang dari kiri dan kanan saya

Jamuan mata yang berbeza, masyaAllah

Saya memilih untuk hanya seketika berada di dalam laut

Bot nelayan berlatar belakangkan sunrise, subhanaAllah

Pagi yang dinantikan selepas malam yang menakutkan

Unggun api
    
PENGHUJUNG YANG INDAH 
Kami akhiri perjalanan kami di Pantai Batu Payung. Antara tempat paling menakjubkan sepanjang keberadaan saya di Lombok. Lihat sendiri gambar-gambar dibawah. Nilailah. Kerana saya tidak pandai mengungkapkan apa yang menjadi sajian pandangan mata saya. Menakjubkan.

Batu Payung pada pandangan jauh

Kawasan paling tinggi

Nikmati udara segar

Meredah ombak besar untuk sampai kesini
 
Satu lagi ciptaan-Nya untuk dikagumi
 
Batu Payung pada pandangan dekat

Syukur ke hadrat Illahi yang berikan saya dan rakan-rakan kesempatan mempelajari hidup diluar kebiasaan kami. Dengan berjalan meneroka alam, kami belajar mengenal diri. Kami belajar mengenal dunia yang pada ketika itu kawan adalah keluarga kami. Mengenal erti hidup di luar batas selesa. Banyak lagi yang saya ingin kongsikan. Banyak lagi yang mahu saya ceritakan. InsyaAllah saya tinggalkan entri ini setakat ini dahulu. Saya akan kongsikan pengalaman yang berbeza dalam entri yang lain pula, insyaAllah. Saya tinggalkan entri ini dengan beberapa gambar lagi.  Kembaralah untuk sebuah kehidupan, dan akan kau temui kehidupan lain!

Tebing Pasir, pasirnya memang hitam. Semulajadi

Demi sesuap nasi

Aku mensyukuri nikmat-Mu

Puncak kasih kita! hehe
Maássalamah! Jumpa lagi!



No comments:

Post a Comment